Seorang lagi Sepupu Meninggal :'(

Bismillah..
Assalamu'alaikum wbt..

Jam 6.55 petang. Satu mesej masuk. Daripada ummi.
'' Assalamu'alaikum.. Tadi Abe ** meninggal.. Pukul 6.15 petang sakni (tadi). Sedekahlah al-fatihah atau yasin, moga roh arwah dicucuri rahmat. Amin..''


Innanillahi wa inna ilaihi raaji'uun.

Ana terkedu. 6.15 petang tadi. Apa yang ana buat tadi? Baru lepas makan..dan saat itu, satu nyawa telah ditarik malaikat Izrail.. Sepupu ana sendiri.. Astaghfirullah. Mungkin saat ana menaip post ini juga, berapa banyak roh yang telah terpisah daripada jasadnya.

Arwah sepupu ana, sangat baik. Mempunyai seorang isteri dan tiga cahaya mata menerangi hidup mereka. Hidup mereka bahagia hingga suatu saat, ketua keluarga itu diuji dengan satu penyakit. Kanser. Tapi dia kuat melawan penyakit tu. Sihat kembali. Kata ibu saudara ana, sejak diuji dengan penyakit tu, abe ** semakin mendekatkan dirinya dengan Allah. Tahajudnya..istiqamah. Sedekahnya..berterusan. Hingga si ibu mengaku amalnya tidak sebanyak si anak. Perkara ni sangat terkesan dalam diri ana sendiri. Kerana bila melihatnya yang sentiasa tersenyum, hati ana tenang. 

Sihatnya tidak lama. Dia diuji lagi. Allah..kali ini dengan lumpuh separuh badannya. :'( Ana terkejut mendengar khabar dari ummi. Lalu waktu cuti yang agak panjang hari tu, ana melawat dia di rumahnya di Kuantan bersama keluarga dan sanak saudara. 

Ana melihat keadaannya. Tubuhnya yang dulu tegap kini semakin kurus. Wajahnya tidak seperti dulu. Begitu juga kudratnya. Sayu rasa hati. Ummi dan ibu saudara yang lain menitiskan air mata. Ana turut sebak. Mereka bergilir-gilir membaca al-Quran di sebelah dia. Ana lihat isterinya, kak An.. Tidak jemu menjaga suaminya. Moga syurga tempatnya, in shaa Allah..

''Abang, tengok diorang pakai baju merah sedondon. Takpe bang, nanti kita pakai baju warna sedondon juga ya!'' Kata si isteri. Masih lagi mencari ruang berbicara dengan suaminya. Ana kagum melihat kesabarannya yang tinggi. Pernah kak An bercerita, anak keduanya yang berumur 10 tahun kalau ana tak silap (lelaki) merajuk dengan suaminya kerana tidak bersalam sewaktu hendak ke sekolah.

''Ummi, kenapa abah tak nak salam Akif..?'' Tanya si kecil. 
Kak An segera menjawab, ''Bukan abah tak nak salam, abah sakit tu..''

Ketika menapak ke dalam rumah, ana terbaca sesuatu pada satu kad tulisan tangan berhias yang dibuat anak-anaknya dan dilekatkan pada dinding.

"Selamat Hari Ibu! Semoga ummi sentiasa cantik. Semoga ummi sentiasa jaga abah."
Ana sangat terharu membaca tulisan anak mereka. Luahan rasa yang terzahir dari jiwa yang murni, menyentuh hati ini. :'(

Dan sekarang.. Abah mereka tiada lagi. Sudah kembali kepada penciptanya.
Ana harap anak-anak tersebut membesar dengan kasih sayang yang tiada tara dari umminya, in shaa Allah. Moga Allah merahmati mereka sekeluarga dan memberikan kesabaran serta ketabahan pada hati-hati mereka untuk berlapang dada menerima segala takdir dengan redha.

Harapan ana juga, moga arwah sepupu ana, ditempatkan dalam kalangan para solehin, in shaa Allah.
Dari-Nya kita datang, kepada-Nya kita kembali.
Sesungguhnya mati itu sebaik-baik peringatan..

Allahu'alam..


Comments

Jundullah said…
seperti isi khutbah jumaat hari ini,
innalillah wainna ilaihi rajiiun
sesungguhnya daripada ALLAH kami datang, kepada ALLAH jua kami kembali

semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang yg soleh, ameen

Popular Posts